Friday, October 23, 2009

Awak ke mana?


Awak ke mana?
Saya masih di sini. Kelihatan tujuh jalur penantian. Mengharap sekuntum bunga kegembiraan. Ditunggu dinanti dijaga di bawah mentari. Bunga gembira yang memang lama dinanti di bawah tujuh jalur penantian.

Awak ke mana?
Saya masih di sini. Bunga kegembiraan sudah hilang. Duri kesedihan meliar menikam. Dilihat tapi sudah tiada. Yang tinggal cuma kenangan yang mendukakan.

Awak ke mana?
Saya masih di sini. Menanti dan mencari. Menunggu dan menyendiri. Menutup luka agar tidak kelihatan. Tapi darahnya mengalir kesakitan. Sukar menerima kehilangan. Luka yang dalam menusuk ke tulang. Berdarah dan terus berdarah. Kenapa begini? Selepas tujuh jalur itu? Kenapa sebelumnya kau tidak menghilang? Atau biarkan aku tidak pernah mengetahui.


-Apa makna sebuah kehidupan?Untuk kesakitan?-

Sunday, October 11, 2009

Siapa yang keluar?


Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Kemudian semakin hilang daripada ruang itu. Aku hanya mampu berdiam. Mengeluh tak berbahasa. Berkata tak berbunyi. Ingin ku halang kurangnya tapi aku bukan Tuhan yang punya kuasa. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Aku sakit melihat. Tambah derita merasa. Bukan satu yang biasa untuk dibualkan bersama. Tapi menjadi sumpahan yang sudah melekat terpatri tidak mampu dibuka. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Lambat ku tersedar yang aku hanya tinggal sendirian. Mereka sudah tiada. Belum pun aku bersedia menerima tapi takdir sudah mendahului usaha. Ingin saja aku menyalahkan awal permulaan kerana pahit hujungnya. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Ruang gelap ini untuk ku harung sendirian. Cuba ku tafsir apa yang wajar menjadi makna. Mereka sudah tiada. Aku tidak akan menghalang hilangnya. Di sini bukan lagi dunia mereka. Aku hanya mampu meratib berkata ini bukan satu dosa untuk dipersiakan. Tapi satu pahala untuk dimanfaatkan.


-Meratib berkata ini bukan satu dosa untuk dipersiakan. Tapi satu pahala untuk dimanfaatkan-

Wednesday, October 7, 2009

Awak tolong keluar dari sini.


Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga aku bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku masuk ke bilik sana. Melihat seribu gembira. Melihat sejuta tawa. Menjamah sedikit gurau senda. Semua indah dan manis. Terbit mata yang tajam menerpa bagai berkata “Gembira, tawa dan gurau sendamu tawar dan tidak punya apa.”

Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga aku bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku pindah ke bilik yang berbeda. Melihat seribu sedih. Melihat sejuta air mata. Menjamah sedikit tangis luka. Semua perit dan pahit. Muncul lagi mata durjana bagai berkata “Sedih, air mata dan tangis luka tidak bermakna kerana simpatimu tidak ada tempatnya.”

Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku pindah ke bilik di tepi beranda. Gelap yang membuta. Cuma kelihatan kerusi, meja dan kertas putih di atasnya. Terpancar cahaya dari tingkap sebelahnya. Aku duduk di kerusi yang papan semata merenung kertas di atas meja. Memandang keluar memerhati gadis di hujung padang.

Masih juga bernafas tapi untuk sehirup nyawa.

Terima kasih Yang Esa.

Tuesday, October 6, 2009

Tangisan Padang 10 Oktober 2009

Padang menangis. Itulah kiranya yang dilihat oleh penyair Hasyuda Abadi dalam puisinya Tangisan Padang.Gempa yang meluluhlantakkan kota itu tak siapa yang dapat menjangka. Gempa datang tanpa sebarang isyarat, dan tiba-tiba lebih 1,000 manusia jadi korban.
Rumah runtuh bangunan roboh, ribuan hilang tempat tinggal dan dalam waktu yang singkat, ibu kehilangan anak, anak kehilangan orang tua, suami kehilangan isteri, isteri kehilangan kekasihnya. Tetapi kita tidak kehilangan simpati dan belas kasihan.
Tragedi itu memang memilukan dan mengharukan. Kita yang jauh ini hanya dapat menyaksikan depan TV atau di skrin komputer.
Tangisan Padang memang menyedihkan. Mari kita membantu dan menolong mereka dengan mengumpul dana sambil membacakan puisi duka bertemakan Tangisan Padang.
Untuk itu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mengadakan
Program Baca Puisi Teluk Likas- Tangisan Padang
pada 10 Oktober 2009
bermula jam 9.00 pagi
di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Penyair penulis, pelajar pendidik, mahasiswa, kakitangan kerajaan dan swasta, orang persendirian dan peminat sastera dijemput hadir menjayakan majlis itu sambil menderma untuk meringankan beban saudara kita di tanah Minang.
Sesiapa yang berminat untuk membaca puisi sila hubungi Abd.Naddin Hj Shaiddin melalui 016-8351013, Hasyuda Abadi 0148758564, Jasni Yakub 0109305214 atau emel
abdnaddin@yahoo.com.

-Copy from Abang Naddin-

Saturday, October 3, 2009

Kenapa mesti dikoyak?


Kenapa mesti dikoyak?
Aku duduk saja di tepi meja berhadapan dengan tingkap. Kertas itu sudah koyak, bukan saja renyuk dan hitam kelam berdaki. Kenyataan kertas itu sudah koyak. Aku hanya melihat kertas itu sudah menjadi sudah menjadi cebisan kecil.

Kenapa mesti dikoyak?
Masih ada kertas di atas meja. Putih bersih. Belum renyuk dan belum hitam kelam berdaki. Ada mata sumbang melihat meminta kertas dikoyak lagi. Gembira melihat cebisan akibat terkoyak. Tidak pernah rasa ingin melihat kertas itu seperti kertas lain. Meronta untuk mengoyaknya lagi.

Kenapa mesti dikoyak?
Duduk diam terpaku melihat kertas putih. Membiarkan mata sumbang mencarik-carik kertas. Penuh rakus mengoyak untuk menjadikannya cebisan-cebisan yang renyuk dan kotor. Tapi kertas di atas meja tetap putih tidak terusik. Hanya koyak dari pandangan tapi masih putih bersih di atas meja.

Kenapa mesti dikoyak?

-Koyak akhirnya tapi masih tetap ada-

Friday, October 2, 2009

Entah. Boleh aku koyakkan kertas ini?


“Boleh aku koyakkan kertas ini?”

Menjadi sendu bicara. Kertas itu kosong. Tapi sudah renyuk di tangannya. Garis-garis akibat dari renyukan itu telah membuat kertas kosong itu nampak berserabut. Tapi kertas itu masih lagi sehelai kertas kosong yang tidak tertulis apa-apa.

Boleh aku koyakkan kertas ini?

Kertas itu kosong. Tapi sudah renyuk di tangannya. Terdapat sedikit palitan hitam di kertas itu akibat dari daki tangan yang merenyuk. Nampak kelam. Tapi kertas itu masih lagi kosong yang tidak tertulis apa-apa.

Boleh aku koyakkan kertas ini?

Kertas itu digenggam di dalam tangan. Tidak kelihatan garisan mahupun daki yang hitam. Terkurung dalam genggaman. Tiada siapa yang memandang terang. Cuma kelihatan jelingan yang keliru dengan keadaan.

Boleh aku koyakkan kertas ini?



-Kertas kosong-

Thursday, October 1, 2009

Menyayangi bukan satu dosa.


Ada satu cerita. Seorang gadis yang sangat menyukai daun yang unik. Baginya daun juga sesuai mengubat luka jiwa. Juga menjadi racun hati berbunga.

Kemudian suatu hari, gadis bangun saja dari tidur, di hadapannya terbentang tanah lapang. Di atas tanah lapang ni penuh dengan daun yang unik.

Terngiang-ngiang di telinga gadis "Kamu diberikan masa memilih hanya satu daun dibenarkan dibawa pulang dalam perjalanan ke hujung sebelah sana. Sesampai di sana, kamu akan dihantar balik ke dunia kamu."

Gadis pun melangkah ke tanah lapang dan mencari daun unik yang menjadi idaman. Kemudian dia terlihat satu daun yang sangat unik tapi hatinya tidak pernah puas. Dilepaskan daun itu dan mencari lagi daun yang lain. Dia terjumpa lagi daun yang lebih unik. Hatinya masih kurang puas. Gadis melepaskan daun tersebut dan mencari daun unik yang lain.

Dalam pencarian itu, gadis terlihat satu daun unik setanding dengan sebelumnya. Cuma daun kali ini hanya diperhati dan ditenung. Gadis tidak mengambil daun itu. Sunyi jadi teman.

Terdengar bisikan awan "Kenapa tidak diambil saja daun itu?"

Hati gadis hanya berkata "Aku risau daun ini tidak bersetuju supaya berkongsi rasa denganku".

Menyapa pula terik mentari berbisik, "Kenapa tidak saja kau mencuba?"

Gadis terpaku dan memandang ke langit lalu berkata "Aku takut."

Masa berdetik kian laju. Gadis hanya melihat daun unik itu dengan hati yang tenang. Kadang angin meniup daun itu dan hampir menyebabkan daun itu terkoyak. Hati gadis turut berasa sakit melihatnya.

Gadis bergumam sendirian “Daun, kaukah harta aku yang paling bernilai kalau kau jadi milikku?”

Gadis tersenyum melihat daun unik itu. Selang beberapa lama, ada garis sedih di wajah gadis itu.

“Daun, kalau aku menyukaimu, akukah yang sesuai menjadi milikmu? Atau kau mengharap insan lain menjadi temanmu?”

Awan bersuara lembut berkata “Kenapa tidak saja kau mencuba?”

Mentari bersinar terang bagai turut bersuara “Kau takut bersuara atau kau menanti daun terbang ke pangkuanmu?”

Gadis melangkah ke hadapan sambil berfikir. Daun unik tadi terbang mengiringi gadis itu. Daun unik itu tiba-tiba jatuh di belakang gadis lalu menghentikan langkah gadis itu. Gadis melihat ke belakang. Daun unik itu masih di sana tapi gadis hanya mempunyai satu langkah sahaja lagi untuk meninggalkan tanah lapang itu dan kembali ke dunianya.

Berbisik suara “Kenapa dibiar rasa tanpa usaha? Menyayangi bukan satu dosa.”

Gadis terhenti di situ dan menunggu………



-Masa penentu segala-

Monday, September 14, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA


Kalau selalunya hanya Pak-pak Menteri yang membuat perutusan raya, kali ini biarlah seorang bakal guru membuat perutusan raya,


Asalamualaikum W.B.T


Hampir genap sudah sebulan kita menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Puasa yang memberi kita peluang untuk dekat kepada yang Esa. Alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya, saya masih mampu untuk berkata sedikit di sini. Ramadhan di universiti memang boleh dikatakan mencabar kerana kita sering diuji dengan dugaan. Memang berbeza dengan berpuasa ketika kita sekolah dahulu. Tapi setiap dugaan yang kita hadapi memberi kita seribu kepuasan yang tidak terhingga.


Pada Syawal akan datang ini, aku sekali lagi akan meraikannya tanpa kehadiran seorang bonda. Memang satu kesedihan yang amat perit untuk diterima. Tapi apakan daya. Kita hanya insan yang kerdil yang tidak punya apa. Aku terima dengan redha. Aku akan cuba bergembira meraikan kejayaan Ramadhan dan tidak akan melupakan kenangan bersama kasih bonda.


Setiap kali Syawal sahabat dan temanlah yang menjadi teman gembira penghibur duka. Syawal kali ini mungkin sedikit berbeza dengan pengalaman yang semakin bertambah, teman yang semakin cinta, sahabat yang semakin setia dan seribu kebaikan yang tiba. Aku sekali lagi memanjatkan syukur ke Hadrat Illahi kerana dikurniakan insan seperti mereka.


Apalah maknanya kita tanpa yang Esa. Apalah maknanya perjuangan tanpa insan sekeliling kita. Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI dan MAAF ZAHIR BATIN kepada yang Ayahanda Mohamad, Kanda Salwati dan Tunang, Dinda Selamah, Dinda Sabri, Dinda Syakri dan Dinda kesayangan yang bongsu Sakinah. Ingatlah kalianlah membuat aku lebih kuat di sini. Kepada Dayang Shahfizah Ezyan yang tetap setia menemani setiap masa, ucapan raya ini juga tidak lupa kuberikan padamu. Terima kasih kerana di sisi. Kau tahu aku sentiasa tidak lupa.


Kepada ahli keluarga lain, Nenda Mohd Kassim dan Nenda Asiah, maafkan diri ini kerana jarang untuk meluangkan masa bersama. Kepada Busu, Bu Mawar, Mama Idah, Bu Atie, Uda dan Paci Awang dengan keluarga masing-masing, maafkan anak saudara kalian yang bagai derhaka tidak pulang ke rumah kalian. Maaf zahir dan batin.


Kepada guru-guru sekolahku dulu jasa kalian tidak kulupakan. Guru di Tadika Perpaduan Kampung Patau-patau, Sekolah Kebangsaan Patau-patau, Sekolah Rendah Agama Islam Patau-patau, Saint Anthony School Labuan, dan S.M.K. Labuan. Tidak dilupakan kepada guru-guru sekolah lain yang mengenali diriku. Maaf zahir dan batin.


Tidak dilupakan kepada teman-teman sekerja di Iktikad Waja. Pengalaman di sana banyak mengajarku. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.


Kepada sahabat-sahabat di kampung; cdie, ilhan, rudie, manbai, faiz, bob, madu, adie dan lain-lain. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Kepada teman setiaku. Aki, Fariz, Yao, Ana, Izat, Shidah, Atul, Iqbal, Acit, Hasnur, adikku Irma Ain, Ceceng dan sahabatku yang lain. Kalian peneman dukaku. Pembawa gembiraku. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.


Teman seuniversiti. Kepada kekanda-kekanda senior yang masih belajar mahupun yang sudah bergelar graduan, Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Ahli keluarga G-TEL, Ahli A10-02; Pijul, Akmal, Amid, Afiq, Awan, Awang, Fit, Ct, Reza, Jong, Faisal, Amir dan lain-lain. Kalianlah ABDUL yang berjaya. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Teman sealiran di universiti; Encik Simi, Faisal, Wan, Comot, Kuza dan lain-lain(ramai sangat) eratkan hubungan kekeluargaan kita. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Tidak dilupakan Nancy, Ata, Lidwina, Faye, Vera, Ulabs, dan lain-lain. Walau pun kalian bukan Islam, Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Banyak salah dan silapku kepada kalian.


Tambah juga junior-junior yang baru sahaja belajar erti hidup universiti.


Kepada yang bermakna tahun ini, WARGA SEMEKAP. Ramadhan yang membawa seribu satu kenangan atas kehadiran kalian.

Begitu panjang senarai untuk perutusn raya ini. Kepada yang tidak tersenarai dalam perutusan ini, bukanku melupakan kalian. Kalian tetap ku ingati. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Akhir kalam. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Wasallam.


Ikhlas daripada,

SYAPIEI BIN MOHAMAD

p/s:TAHUN LEPAS PUNYA PERUTUSAN

Friday, September 11, 2009

SEMEKAP Hari Terakhir


Secara rasminya hari ni tamat khidmat kami sebagai guru pelatih di sekolah masing-masing. Seribu kenangan tercipta. Aku sebenarnya sedih meninggalkan sekolah. Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin. Seribu kemaafan kepada warga SEMEKAP. Minggu terakhir ni aku habiskan menjadi seorang yang pengecut. Aku cuba lari daripada semua pelajar aku. Bukan aku membenci tapi aku sedih. Aku tidak mahu air mata aku menitis. Khamis aku tidak banyak menghabiskan masa di meja aku. Aku lari. Jumaat aku sendiri mendambakan diri berjumpa dengan pelajar di dalam kelas. Aku sayu melihat pelajar-pelajar aku. Merekalah ubat dan racun aku sepanjang praktikal. Tapi mereka tidak pernah meracuni aku sekarang ni. Mereka pelajar yang baik. I love u all guys. Mungkin satu hari nanti aku tidak mengingati kalian, itu tidak bermakna aku lupa. Sebab kalianlah anugerah daripada Tuhan.


Kepada pelajar: kalian masih muda. Teruskan perjuangan yang amat panjang. Cikgu tidak akan melupakan kalian.


Kepada guru-guru: Saya minta maaf sangat kalau kehadiran saya menyakitkan hati, menyusahkan dan perkara-perkara yang sama waktu dengannya. Ehehe... Guru-guru memang sempoi. Macam bukan guru praktikal saya rasa.

Tuesday, September 8, 2009

APAKAH?

Minggu terakhir aku di SMK Apin-Apin. Lega. Tapi legakah aku? Aku rasa aku masih perlukan sesuatu. Aku mempunyai seribu rasa tidak terbanding sekarang. SEMEKAP akan sentiasa diingati.

Monday, August 31, 2009

Melalut untuk berfikir???


Hari ni merupakan hari kemerdekaan Malaysia ke 52. Alhamdulillah kita sudah bebas daripada penjajahan selama 52 tahun. Tapi aku sering tertanya apa makna kemerdekaan yang sebenar. Mungkin agak terlambat aku mempersoalkan apa makna merdeka. Tapi bagi aku tiada yang terlewat dalam bertanya kemerdekaan. Sepanjang aku belajar sejarah di sekolah(walaupun keputusan sejarah tidak pernah tinggi) aku agak meminati subjek ini. Sebab sejarah mengajar kita apa erti kemerdekaan. Tapi dari sejarah aku masih belum mengerti apa makna merdeka. Siapa yang memperjuangkan kemerdekaan. Sehingga ke tahap aku berasa pelik. Kemerdekaan kita yang diperoleh atas jasa Tunku Abdul Rahman hanya dengan perundingan dengan Inggeris@British. Sejauh mana sebenarnya kebaikan British???


Kita lupakan apa yang bermain di minda. Aku mula memikirkan sejauh mana kita merdeka dengan keadaan politik yang aku rasa tidak menentu. Kadangkala aku memikirkan politik ini kotor. Terfikir aku apabila membaca blog salah seorang pelakon tanah air. Apabila mencipta perbualan anak dengan ibu. Si ibu melarang anaknya bermain pasir sewaktu anaknya masih kecil. Lantas si anak berhenti bermain pasir atas alasan bermain pasir itu kotor. Sesudah anak dewasa, si anak berbual berkenaan isu politik. Si ibu terdengar perbualan tersebut lantas melarang anaknya terlibat dalam politik. Si anak yang dalam kehairanan bertanya kenapa ibunya melarang sedemikian. Ibu lantas berkata "Nak, ketika kamu kecil kamu bermain pasir itu kotor dan boleh mendatangkan penyakit tapi boleh diubati dengan berjumpa dengan doktor. Tapi bermain politik itu kotor, kita tidak tahu di mana nak berubat." Dari perbualan tersebut, si ibu bagai mengatakan bahawa 'politik itu kotor'. Wajarkah kita mengiyakan bahawa politik itu kotor. Bagi aku politik itu tidaklah kotor. Politik jadi kotor akibat politikus. Politikuslah yang mengotorkan politik itu. Jadi sejauh mana merdeka kita andai politik kita tidak telus?


Melihat kepada senario kita pada hari ini, aku tertarik dengan isu mengusung kepala lembu. Pelik. Kenapa mesti mengusung kepala lembu? Demi menghina agama lain? Apa kita diajar untuk menghina agama lain? Kita diajar untuk menghormati bukan untuk menghina. Tolong fahami agama Tuhan bukan agama politik. Jangan bertuhankan politik. Sejauh mana 1 Malaysia yang dicanang? Isu-isu begini aku agak ketinggalan semenjak aku menghabiskan masa di Keningau. Bukan kekangan daripada tugas. Tapi kekangan daripada sikap malas.


Aku sebenarnya mahu bercakap pasal kemerdekaan jadi melalut kepada politik. Dari politik aku berpindah kepada seni. Aku tertarik dengan apa yang Aloy Paradoks katakan pasal SENI itu TUHAN.


"Berat? Bila dikata Tuhan pasti adanya kepercayaan dan pegangan serta anutan. Seni itu sendiri mementingkan pegangan dan kepercayaan yang menjadi perkara pokok dan asas kepada anutan pengamalnya. Betulkan ayat ni kalau gua salah.Jika tuhan ianya disembah. Dipuja dan kita percaya kepada kuasanya. Itu Tuhan. Dan adakah keterlaluan jika gua katakan seni itu adalah Tuhan. Mungkin ya agak keterlaluan atau memang keterlaluan. Tapi jika dilihat pada perkembangan seni ia bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika kene pada dalilnya dan haulnya.Beribu ribu zaman dan berjuta tahun dahulu telah tercipta berhala seperti al-Uzza. Dan pendek kata masyarakat mengangap Berhala itu adalah Tuhan, maka ianya dipuja dan disembah. Walau apa pun bukankah al-Uzza adalah satu hasil seni. Kemudian hasil seni dipuja. Maka apa yang dipuja sebenarnya?Dan begitu juga dalam masyarakat kita pada hari ini. Tokong Dikatakan pengantara antara penganutnya dengan Tuhan. Walaupun pengantara tapi apa die Tokong tu. Karya seni juga bukan?Tak perlu gua huraikan dengan contoh contoh yang lain lebih berat lagi. Nanti pening pulak kepala. Cuma apa yang gua tekannya.. beribu malah berjuta tahun dahulu Masyarakat memuja Tuhan yang sebenarnya mereka tidak sedar itu adalah seni.Dalam konteks kita orang Islam perlu percaya dan yakin Allah itu Maha besar dan tiada lain yang disembah melainkan-Nya. "


Hebat apa yang dikatakan dan boleh kita fikirkan bersama. Aku bukan ahli agama yang sesuai untuk membincangkan. Tapi sesuai untuk fikirkan. Kadangkala bola sepak juga bersifat ketuhanan. Bukan maksud menduakan. Tapi apabila kegilaan terhadap bola sepak tu agak kefanatikan.


"seni itu bersifat ketuhanan"Bukankah ayat ini lebih sesuai? "Seni itu tuhan", adalah kata yang menyekutukan/membandingkan hal2 seni dengan tuhan. Sedangkan tuhan itu esa, dan tak ada satu pun yang sebanding denganNya. masyarakat Arab Badui membina hubal, manat, uzza, dan latta sebagai berhala. ianya bersifat metafor/simbolik. Berhala yg mereka cipta dari batu/kayu yg kemudiannya dianggap seni itu adalah simbolik kepada tuhan mereka yg x dpt dilihat (yg sebenarnya cuma orang2 saleh yg hidup zaman nabi ibrahim). Bukan berhala itu tuhan mereka. Juga bukan seni itu tuhan mereka. Dan ini semua sebelum kedatangan Islam.Cuma seni memang terlibat dalam hal2 ketuhanan, dari dulu hingga hari ini. Ukiran dan binaan masjid misalnya. Aku tidaklah sereligious yg mak bapak aku harapkan, tapi seni yg atheistik bukanlah seni yg terbaik untuk diagungkan. Seni Islam saja punya banyak tarikan, masjid biru turki misalnya. Atau setidaknya biarlah seni itu tidak diletakkan setaraf dengan tuhan. Tuhan satu pun aku selalu lalai, ini kan pula ada dua..haih. Sekadar berkongsi rasa, bro.


Ini pulak balasan daripada salah seorang pembaca blog tersebut. Aku bersetuju, Dan agak jarang aku berjumpa orang yang tidak melatah dengan kenyataan yang berat. Aku suka membincangkan benda-benda berat yang aku tahu. Dan aku gemar berbincang dengan orang yang tidak cepat melatah.


Cukuplah untuk Subuh ni.



-Aku dahagakan kelainan-

Saturday, August 29, 2009

Berbuka Puasa @ Secret Recipe

Macam Adidas plak Line dkt kek ni... Ehehe

Banyak minuman kan...

Dik, serius ambil gambar kek tu. Gambar makanan xambil plak td...

Bob, ko malu ka?

Serius masa menguyah kek...Ekkk... Kek kunyah jugak ka?
-Senyuman bila disapa gembira-

AKU

Aku pernah terfikir
Seronok menjadi burung
Mampu untuk terbang ke mana saja
Sering dilihat
Sering diperhati
Biar bahaya sering menanti
Tapi kita bebas ke mana saja
Aku cuma mahu bebas
Mahu disayangi
Tapi aku cuma mampu bisu menyepi
Aku takut menyendiri
Aku takut dibenci
Aku takut sepi
Aku takut sunyi


-Aku sayang kalian-