Friday, October 23, 2009

Awak ke mana?


Awak ke mana?
Saya masih di sini. Kelihatan tujuh jalur penantian. Mengharap sekuntum bunga kegembiraan. Ditunggu dinanti dijaga di bawah mentari. Bunga gembira yang memang lama dinanti di bawah tujuh jalur penantian.

Awak ke mana?
Saya masih di sini. Bunga kegembiraan sudah hilang. Duri kesedihan meliar menikam. Dilihat tapi sudah tiada. Yang tinggal cuma kenangan yang mendukakan.

Awak ke mana?
Saya masih di sini. Menanti dan mencari. Menunggu dan menyendiri. Menutup luka agar tidak kelihatan. Tapi darahnya mengalir kesakitan. Sukar menerima kehilangan. Luka yang dalam menusuk ke tulang. Berdarah dan terus berdarah. Kenapa begini? Selepas tujuh jalur itu? Kenapa sebelumnya kau tidak menghilang? Atau biarkan aku tidak pernah mengetahui.


-Apa makna sebuah kehidupan?Untuk kesakitan?-

Sunday, October 11, 2009

Siapa yang keluar?


Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Kemudian semakin hilang daripada ruang itu. Aku hanya mampu berdiam. Mengeluh tak berbahasa. Berkata tak berbunyi. Ingin ku halang kurangnya tapi aku bukan Tuhan yang punya kuasa. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Aku sakit melihat. Tambah derita merasa. Bukan satu yang biasa untuk dibualkan bersama. Tapi menjadi sumpahan yang sudah melekat terpatri tidak mampu dibuka. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Lambat ku tersedar yang aku hanya tinggal sendirian. Mereka sudah tiada. Belum pun aku bersedia menerima tapi takdir sudah mendahului usaha. Ingin saja aku menyalahkan awal permulaan kerana pahit hujungnya. Aku hanya mampu redha.

Siapa yang keluar?
Pada awalnya masih bersusun. Ruang gelap ini untuk ku harung sendirian. Cuba ku tafsir apa yang wajar menjadi makna. Mereka sudah tiada. Aku tidak akan menghalang hilangnya. Di sini bukan lagi dunia mereka. Aku hanya mampu meratib berkata ini bukan satu dosa untuk dipersiakan. Tapi satu pahala untuk dimanfaatkan.


-Meratib berkata ini bukan satu dosa untuk dipersiakan. Tapi satu pahala untuk dimanfaatkan-

Wednesday, October 7, 2009

Awak tolong keluar dari sini.


Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga aku bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku masuk ke bilik sana. Melihat seribu gembira. Melihat sejuta tawa. Menjamah sedikit gurau senda. Semua indah dan manis. Terbit mata yang tajam menerpa bagai berkata “Gembira, tawa dan gurau sendamu tawar dan tidak punya apa.”

Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga aku bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku pindah ke bilik yang berbeda. Melihat seribu sedih. Melihat sejuta air mata. Menjamah sedikit tangis luka. Semua perit dan pahit. Muncul lagi mata durjana bagai berkata “Sedih, air mata dan tangis luka tidak bermakna kerana simpatimu tidak ada tempatnya.”

Awak tolong keluar dari sini.

Masih juga bernafas. Masih cuba untuk mencari apa sebenar erti perjalanan panjang. Aku pindah ke bilik di tepi beranda. Gelap yang membuta. Cuma kelihatan kerusi, meja dan kertas putih di atasnya. Terpancar cahaya dari tingkap sebelahnya. Aku duduk di kerusi yang papan semata merenung kertas di atas meja. Memandang keluar memerhati gadis di hujung padang.

Masih juga bernafas tapi untuk sehirup nyawa.

Terima kasih Yang Esa.

Tuesday, October 6, 2009

Tangisan Padang 10 Oktober 2009

Padang menangis. Itulah kiranya yang dilihat oleh penyair Hasyuda Abadi dalam puisinya Tangisan Padang.Gempa yang meluluhlantakkan kota itu tak siapa yang dapat menjangka. Gempa datang tanpa sebarang isyarat, dan tiba-tiba lebih 1,000 manusia jadi korban.
Rumah runtuh bangunan roboh, ribuan hilang tempat tinggal dan dalam waktu yang singkat, ibu kehilangan anak, anak kehilangan orang tua, suami kehilangan isteri, isteri kehilangan kekasihnya. Tetapi kita tidak kehilangan simpati dan belas kasihan.
Tragedi itu memang memilukan dan mengharukan. Kita yang jauh ini hanya dapat menyaksikan depan TV atau di skrin komputer.
Tangisan Padang memang menyedihkan. Mari kita membantu dan menolong mereka dengan mengumpul dana sambil membacakan puisi duka bertemakan Tangisan Padang.
Untuk itu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mengadakan
Program Baca Puisi Teluk Likas- Tangisan Padang
pada 10 Oktober 2009
bermula jam 9.00 pagi
di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Penyair penulis, pelajar pendidik, mahasiswa, kakitangan kerajaan dan swasta, orang persendirian dan peminat sastera dijemput hadir menjayakan majlis itu sambil menderma untuk meringankan beban saudara kita di tanah Minang.
Sesiapa yang berminat untuk membaca puisi sila hubungi Abd.Naddin Hj Shaiddin melalui 016-8351013, Hasyuda Abadi 0148758564, Jasni Yakub 0109305214 atau emel
abdnaddin@yahoo.com.

-Copy from Abang Naddin-

Saturday, October 3, 2009

Kenapa mesti dikoyak?


Kenapa mesti dikoyak?
Aku duduk saja di tepi meja berhadapan dengan tingkap. Kertas itu sudah koyak, bukan saja renyuk dan hitam kelam berdaki. Kenyataan kertas itu sudah koyak. Aku hanya melihat kertas itu sudah menjadi sudah menjadi cebisan kecil.

Kenapa mesti dikoyak?
Masih ada kertas di atas meja. Putih bersih. Belum renyuk dan belum hitam kelam berdaki. Ada mata sumbang melihat meminta kertas dikoyak lagi. Gembira melihat cebisan akibat terkoyak. Tidak pernah rasa ingin melihat kertas itu seperti kertas lain. Meronta untuk mengoyaknya lagi.

Kenapa mesti dikoyak?
Duduk diam terpaku melihat kertas putih. Membiarkan mata sumbang mencarik-carik kertas. Penuh rakus mengoyak untuk menjadikannya cebisan-cebisan yang renyuk dan kotor. Tapi kertas di atas meja tetap putih tidak terusik. Hanya koyak dari pandangan tapi masih putih bersih di atas meja.

Kenapa mesti dikoyak?

-Koyak akhirnya tapi masih tetap ada-

Friday, October 2, 2009

Entah. Boleh aku koyakkan kertas ini?


“Boleh aku koyakkan kertas ini?”

Menjadi sendu bicara. Kertas itu kosong. Tapi sudah renyuk di tangannya. Garis-garis akibat dari renyukan itu telah membuat kertas kosong itu nampak berserabut. Tapi kertas itu masih lagi sehelai kertas kosong yang tidak tertulis apa-apa.

Boleh aku koyakkan kertas ini?

Kertas itu kosong. Tapi sudah renyuk di tangannya. Terdapat sedikit palitan hitam di kertas itu akibat dari daki tangan yang merenyuk. Nampak kelam. Tapi kertas itu masih lagi kosong yang tidak tertulis apa-apa.

Boleh aku koyakkan kertas ini?

Kertas itu digenggam di dalam tangan. Tidak kelihatan garisan mahupun daki yang hitam. Terkurung dalam genggaman. Tiada siapa yang memandang terang. Cuma kelihatan jelingan yang keliru dengan keadaan.

Boleh aku koyakkan kertas ini?



-Kertas kosong-

Thursday, October 1, 2009

Menyayangi bukan satu dosa.


Ada satu cerita. Seorang gadis yang sangat menyukai daun yang unik. Baginya daun juga sesuai mengubat luka jiwa. Juga menjadi racun hati berbunga.

Kemudian suatu hari, gadis bangun saja dari tidur, di hadapannya terbentang tanah lapang. Di atas tanah lapang ni penuh dengan daun yang unik.

Terngiang-ngiang di telinga gadis "Kamu diberikan masa memilih hanya satu daun dibenarkan dibawa pulang dalam perjalanan ke hujung sebelah sana. Sesampai di sana, kamu akan dihantar balik ke dunia kamu."

Gadis pun melangkah ke tanah lapang dan mencari daun unik yang menjadi idaman. Kemudian dia terlihat satu daun yang sangat unik tapi hatinya tidak pernah puas. Dilepaskan daun itu dan mencari lagi daun yang lain. Dia terjumpa lagi daun yang lebih unik. Hatinya masih kurang puas. Gadis melepaskan daun tersebut dan mencari daun unik yang lain.

Dalam pencarian itu, gadis terlihat satu daun unik setanding dengan sebelumnya. Cuma daun kali ini hanya diperhati dan ditenung. Gadis tidak mengambil daun itu. Sunyi jadi teman.

Terdengar bisikan awan "Kenapa tidak diambil saja daun itu?"

Hati gadis hanya berkata "Aku risau daun ini tidak bersetuju supaya berkongsi rasa denganku".

Menyapa pula terik mentari berbisik, "Kenapa tidak saja kau mencuba?"

Gadis terpaku dan memandang ke langit lalu berkata "Aku takut."

Masa berdetik kian laju. Gadis hanya melihat daun unik itu dengan hati yang tenang. Kadang angin meniup daun itu dan hampir menyebabkan daun itu terkoyak. Hati gadis turut berasa sakit melihatnya.

Gadis bergumam sendirian “Daun, kaukah harta aku yang paling bernilai kalau kau jadi milikku?”

Gadis tersenyum melihat daun unik itu. Selang beberapa lama, ada garis sedih di wajah gadis itu.

“Daun, kalau aku menyukaimu, akukah yang sesuai menjadi milikmu? Atau kau mengharap insan lain menjadi temanmu?”

Awan bersuara lembut berkata “Kenapa tidak saja kau mencuba?”

Mentari bersinar terang bagai turut bersuara “Kau takut bersuara atau kau menanti daun terbang ke pangkuanmu?”

Gadis melangkah ke hadapan sambil berfikir. Daun unik tadi terbang mengiringi gadis itu. Daun unik itu tiba-tiba jatuh di belakang gadis lalu menghentikan langkah gadis itu. Gadis melihat ke belakang. Daun unik itu masih di sana tapi gadis hanya mempunyai satu langkah sahaja lagi untuk meninggalkan tanah lapang itu dan kembali ke dunianya.

Berbisik suara “Kenapa dibiar rasa tanpa usaha? Menyayangi bukan satu dosa.”

Gadis terhenti di situ dan menunggu………



-Masa penentu segala-