Thursday, February 26, 2009

Waktu lapang.(Lapanglah sangat)


Bahasa Melayu pernah menempa kegemilangan satu ketika dulu. Kegemilangan Bahasa Melayu ini mencapai kemuncak apabila mencapai tahap bahasa universal yang menjadi bahasa pertuturan penting di dunia atau lebih dikenali sebagai lingua franca. Perkembangan penting Bahasa Melayu boleh kita lihat dua Era. Era yang pertama merupakan era sebelum kedatangan penjajah manakala era yang kedua pada zaman penjajahan Barat.

Era sebelum kedatangan penjajah, kita perhatikan dua pengaruh utama yang besar. Pada zaman kedatangan agama Hindu, Bahasa Melayu telah bertembung dengan Bahasa Sanskrit yang mengakibatkan pengambilan dan penyerapan kosa kata Sanskrit ke dalam Bahasa Melayu. Pada zaman kedatangan Islam pula, Bahasa Melayu bertembung dengan Bahasa Arab. Pada zaman ini, banyak orang melayu memeluk agama Islam. Hal ini sekaligus mengakibatkan Bahasa Arab memberi pengaruh yang kuat terhadap Bahasa Melayu. Bukan sahaja dari sudut kosa kata malahan dari sudut penulisan. Adaptasi tulisan arab kepada tulisan jawi yang membawa perubahan besar dalam perkembangan Bahasa Melayu.

Kewujudan tulisan jawi ini merangsang ke arah perkembangan Bahasa Melayu menjadi bahasa persuratan. Pada era semasa kedatangan penjajah pula, sistem pendidikan secara formal mengikut sistem pendidikan negara asal penjajah telah dilaksanakan. Kedatangan penjajah(merujuk kepada British khususnya) yang melaksanakan sistem pendidikan sekular moden telah menyebabkan pembukaan sekolah-sekolah Inggeris, Cina, Tamil dan Melayu. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar. Sekolah aliran inggeris merupakan sekolah yang bermula dari tahap rendah sehingga ke tahap tinggi. Malang bagi sekolah aliran melayu, pendidikan aliran melayu hanya untuk tahap rendah sahaja. Kedudukan Bahasa Melayu mulai jatuh merudum. Kedudukan Bahasa Melayu sudah menjadi terancam oleh bahasa-bahasa asing yang lain.

Selepas mencapai kemerdekaan, kedudukan Bahasa Melayu diangkat sekali lagi dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional Malaysia. Perkara 152 menyebut: (1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa-bahasa asing; (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan”


-Boring siot nak buat assignment. Tapi ada dasar rindu dengan pembelajaran Bahasa Melayu, gua layan je.-


credit tuk Abang Abd Naddin tuk gambar.