
Terjaga dari tidur. Duduk depan komputer. Keluar rumah dan muntah. Aduh. Perut rasa tidak selesa. MAAFKAN AKU. Semua ni berlaku dengan tidak sengaja. Aku tidak mahu. Aku tau ada yang membaca. Ketidakselesaan ni muncul mungkin disebabkan coklat yang aku makan. Sedap. Junior bawa coklat datang rumah. So menghabiskan coklat tu adalah suatu kejarangan berlaku. Ambil kesempatan ni untuk update blog.
Protes. Rabu bersamaan Februari 24, satu kumpulan teater telah mementaskan naskhah PROTES karya Dinsman. Membawa satu perasaan yang mengujakan kerana kerinduan terhadap teater. Pementasan ini aku tahu diusahakan oleh warga Kolej Yayasan Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Salah seorang daripada pelakon memang aku kenali kerana idea yang dibawanya berbeza. Kita terus kepada pementasan. Perkara pertama yang aku rasa agak mengecewakan ialah kehadiran penonton yang agak tidak memberangsangkan. Auditorium yang agak kosong. Mungkin kerana kurang publisiti? Atau kerana sememangnya kurang minat warga yang berdekatan dengan teater?
Pentas. Aku melihat keadaan pentas dengan set yang agak 'simple'. Suatu yang agak berani. Aku rasakan risiko diambil. Bagi aku, set dibuat bagi membantu pelakon. Dan apabila menggunakan set yang agak 'simple', maka kekuatan lakon itu perlulah mencapai tahap yang boleh mengangkat naskhah dan menyampaikan hasrat karyawan. Semasa pementasan berlangsung, adakalanya kedudukan set agak kurang sesuai dirasakan. Mengambil contoh kedudukan set bagi Sang Pengarang di belakang kanan pentas terhalang oleh set yang digunakan oleh Logos. Penonton yang berada di tengah tidak akan melihat apa yang dilakukan oleh Sang Pengarang di belakang kerana halangan set di depan.
Busana. Busana Sang Pengarang tidak menunjukkan pemain itu seorang Pengarang. Mungkin ekspektasi penonton berbeza dengan ekspektasi pengarah. Namun elemen busana seharusnya membantu dalam memberitahu siapa watak itu. Secara keseluruhan busana agak biasa. Mungkin boleh dimaafkan.
Kesan bunyi. Tidak banyak yang boleh diperkatakan. Kadang-kadang terasa seperti tidak perlu kerana mengganggu pemain di atas pentas. Mungkin tumpuan pemain kurang. Atau kesan bunyi yang terlalu kuat. Tapi adakalanya terasa agak kosong. Dan ada yang menjadi persoalan di mana pemain mengatakan sedang menunggu bas(olahan pengarah. Tidak terdapat dalam skrip asal), langsung tidak kedengaran bunyi-bunyi kenderaan di tepi jalan. Hanya sunyi. Berdasarkan latar tempat yang diberikan(berhampiran Bukit Padang, Kota Kinabalu), sewajarnya kawasan itu agak sibuk. Mungkin boleh dilupakan.
Pencahayaan. Adakalanya(mungkin boleh dikatakan agak selalu) pencahayaan depan pentas agak malap dan tidak mampu menunjukkan ekspresi muka pelakon. Mungkin keadaan fasiliti auditorium yang mengekang ke arah pencahayaan yang lebih baik.
Elemen penting. LAKON. Sang Pengarang. Pemain tidak mampu meyakinkan penonton akan kewujudan sebagai seorang pengarang. Tempo lakon yang agak kelam kabut pada awal dan menjadi hambar seterusnya. Pemain hanya melafazkan dialog tanpa memahami apa yang dilafazkan. Mungkin kurang memahami apa yang dikata. Emosi dan ikatan antara rakan lakon lain agak longgar. Adam. Vokal dan artikulasi yang lemah. Kekuatan vokal pemain yang lemah. Sehingga penonton tidak mendengar apa yang dikatakan. Artikulasi dan sebutan dialog yang tidak jelas mengakibatkan apa yang cuba dikatakan tidak sampai. Logos. Mempunyai badan yang boleh dikatakan sebagai ideal. Akan tetapi tidak digunakan dengan sebaik yang mungkin. Lemah dan longgar. Tempo lakon yang lemah. Ikatan dengan pelakon lain longgar. Jelas melafaz skrip semata. Emosi yang tidak tentu hala. Eva. Kekuatan lakon yang lemah. Vokal tidak kedengaran. Emosi tidak jelas. Watak yang boleh dikatakan serius menjadi watak yang lawak di mata penonton. Sewajarnya belajar lebih. Isteri Logos. Tidak banyak membantu. Jaringan ikatan antara semua pemain tidak jelas. Sehingga boleh dikata masing-masing membawa satu jaringan sendiri dan tidak berkait antara satu sama lain. Watak Pakar Mental(watak yang diwujudkan sendiri oleh Pengolah skrip). Mengingatkan kepada watak Azman naskhah Misi. Monolog yang bagus cuma wujud kecelaruan dalam penggunaan ganti diri. Aku dan Saya. Menjadi persoalan, apa kaitan dengan jalan cerita? Apa kaitan dengan naskhah? Apa kaitan dengan pemikiran pemilik karya?
Persoalan yang timbul. Olahan dan adaptasi terhadap naskhah, adakah sesuai dan tidak mengganggu cerita asal? Jalan cerita asal terganggu. Maaf. Kurang selesa dengan apa yang dicincang. Karya ini memang agak sukar difahami kerana sarat dengan pemikiran yang berat. Apa yang saya dapat ambil dari karya asal ialah pemikiran hubungan manusia hari ini dengan Tuhan. Bagaimana kewujudan kita manusia hari ini yang sering mempertikaikan Tuhan. Mungkin semua ini ada kaitan dengan teori Atheist atau teori Humanism. Mungkin. Tapi berdasarkan pementasan, saya rasa olahan telah mengganggu pemikiran dan jalan cerita asal. Kesucian telah tercemar. Mungkin. Absurdism suatu yang sukar difahami dan menjadi tidak difahami apabila gagal disampaikan.
-Kadang kita rasa sakit tapi pada masa yang sama kita gembira. Fikirkan. Kita mahu berserah saja dan membiarkan Tuhan melakukan tugas-Nya tanpa kita melakukan sebarang usaha? Atau kita akan menjadi sakit tanpa gembira kerana menyesal tidak berbuat apa.-
2 comments:
Teringin nk tgk teater tp xda kesempatan lagi.. huhuuhu..
Next time klu ada gtau ar.. Mana tau time tuh free..
i will..ehehe
Post a Comment